Tuesday 26 April 2011

langkah menyediakan karangan!!

Kejayaan yang dicapai oleh seseorang berpunca daripada perancangan yang dibuat secara teliti. Begitu juga dengan penulisan karangan. Anda juga perlu membuat perancangan sebelum memulakan penulisan karangan.

Perancangan yang dimaksudkan ialah anda hendaklah menyediakan rangka karangan terlebih dahulu. Rangka karangan yang dibuat akan dijadikan panduan sebelum anda menulis karangan.
Antara kepentingan rangka karangan adalah:
a) Dapat mengemukakan isi-isi yang berkaitan dengan kehendak soalan sahaja.
b) Dapat menyusun fakta atau isi mengikut kepentingan.
c) Dapat mengelak daripada pengulangan fakta.
d) Dapat menganggarkan panjang karangan serta isi yang perlu dihuraikan bagi setiap perenggan.
e) Dapat menghasilkan perenggan yang mantap iaitu satu perenggan untuk pendahuluan, empat perenggan untuk isi dan satu perenggan untuk penutup.
Langkah-langkah sebelum menyusun rangka karangan.
a) Sebelum membuat rangka karangan, anda perlu membaca dan memahami kehendak soalan dengan teliti.
b) Anda hendaklah membuat penilaian terhadap setiap soalan. Pastikan anda mempunyai idea yang bernas dan megetahui tentang format karangan yang perlu ditulis.
c) Anda juga boleh membuat analisis mudah daripada soalan itu supaya anda mendapat idea yang jelas tentang tajuk soalan.

Contoh Soalan Karangan

Salah seorang rakan baik anda terlibat dalam masalah disiplin seperti menghisap rokok, sering ponteng sekolah, san pelajarannya juga turut merosot. Sebagai rakan baiknya, anda ingin menasihatinya agar mengubah sikap buruknya itu. Tuliskan nasihat yang dapat anda berikan agar sahabat anda itu dapat mengubah sikapnya.

Analisis Tajuk Soalan

Kunci Soalan (tuliskan nasihat) – Jenis Karangan (surat kiriman tidak rasmi) – Isu-isu utama —
a) seorang rakan baik terlibat dalam masalah disiplin.
b) Menghisap rokok, sering ponteng sekolah
c) Pelajarannya juga turut merosot.
d) Memberikan nasihat kepadanya supaya berubah sikap.

Langkah-langkah menyusun rangka karangan:
a) Selepas membuat analisis tentang sesuatu tajuk, anda bolehlah mula menyusun rangka karangan.
b) Rangka karangan haruslah ditulis dengan ringkas sahaja untuk menjimatkan masa.
c) Rangka karangan yang dibuat mestilah merangkumi pendahuluan, isi-isi penting serta penutup.

No comments:

Post a Comment